Statistik Penggunaan Dadah
Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), secara purata seramai 620 penagih baru dan 360 penagih berulang dikesan setiap bulan. Jika dibandingkan statistic penagihan mengikut umur bagi bulan Januari hingga Mac 2013, golongan belia merupkan golongan yang paling ramai terdedah (73%) berbanding dengan golongan dewasa (23%). Golongan belia ini berumur antara 19 tahun hingga 39 tahun. Megikut kajian AADK, jenis dadah yang paling banyak digunakan adalah jenis heroin (45%), diikuti dengan morfin (32%), ganja (16%) dan yang membimbangkan jenis ATS seperti syabu ini makin meningkat (7%).
Dalam pengambilan dadah jenis "ice", yang juga dikenali sebagai syabu, atau ‘meth’ (singkatan kepada nama scientificnya Methamphetamine) adalah popular di kalangan belia di bandar dan luar bandar. Senario di Malaysia menunjukkan peratusan penyalahgunaan dadah jenis sinthetik ini di kalangan belia dan remaja, menunjukkan peningkatan dan keadaan ini amat membimbangkan kerana mereka merupakan aset terpenting sesebuah negara.
Dadah Dari Sudut Pandangan Islam
Hukum dan larangan pengambilan dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang dikiaskan kepada arak. Dalam Al-Quran banyak menyebut mengenai pengharaman ini bersandarkan kepada keterangan nas-nas (Al-Quran dan Al-Hadis) kerana ia termasuk dalam pengertian umum benda-benda yang memabukkan, menghilangkan akal dan kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama, iaitu memabukkan atau terdapat dan membawa kebinasaan terhadap individu-individu dan masyarakat.
"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan……" - Surah Al-Baqarah : 195
Tindak Balas Syabu Di Dalam Badan
Kesan keseronokan (khayal) akibat pengambilan syabu menyebabkan individu itu akan mengambil dadah itu secara berterusan. Kesan ini dipercayai akibat rangsangan terhadap ‘Dopamine’ iaitu penghantar neuron ke otak yang bersifat perangsang. Syabu perlu diambil berterusan bagi terus merangsang ‘Dopamine’. Syabu tidak perlu diambil setiap hari berbanding pengambilan heroin dan morfin. Cukup sekadar dua kali dalam seminggu dan ia boleh membuatkan pengguna ketagihan.
Jika penagih berhenti mengambil syabu, kadar ‘Dopamine’ dalam otak berkurangan sehingga mencetuskan pelbagai masalah kesihatan dan mental. Untuk mengembalikan Dopamine kepada kadar normal seperti manusia biasa, ia memerlukan rawatan dan meninggalkan syabu selama setahun. Penagih syabu yang ingin meninggalkan ketagihan syabu tidak ada jalan singkat dan mudah, melainkan terpaksa menanggung seksaan akibat dari penagihan tersebut.
Kesan Pengaruh Syabu Kepada Penggunanya
Mental dan emosi
Kesan mungkin menjadi gila akibat halusinasi dan delusi (kekeliruan) sehingga mampu membunuh diri, gelisah, cepat marah, gementar, kebingungan, fikiran terganggu dan boleh bersifat ganas. Prasangka buruk kepada orang lain, mendengar bisikan dan sentiasa dalam ketakutan seperti ada orang yang mengejar dan mengintip. Pada dos yang tinggi menaikkan suhu badan kepada tahap membahayakan, mengakibatkan sawan dan akhirnya maut.
Fizikal
Pengguna tidak tidur selama tiga sehingga 15 hari, hilang selera makan dan berat badan menurun, berpeluh, pucat, pengabaian kesihatan diri, berparut dan luka di badan (kudis jelas kelihatan akibat pengguna syabu menggaru kulit untuk menghapus bayangan serangga yang disangka berada pada kulitnya), kurang daya tahan melawan penyakit akibat pengabaian kesihatan dan lumpuh.
Sokongan Dan Bantuan Pemulihan Dadah dan Syabu
Sememangnya penyakit melawan nafsu ketagihan dadah adalah penyakit yang paling sukar dan memerlukan kesabaran, ketabahan dan jati diri yang tinggi. Pihak keluarga dan masyarakat perlu memainkan peranan dalam memulihkan ahli keluarga yang telah menjadi penagih dadah dalam memberikan galakan motivasi. Bekas-bekas penagih yang telah melalui rawatan haruslah diterima balik ke pangkuan keluarga masing-masing. Perasaan prasangka buruk terhadap para penagih menjadikan mereka berasa tersisih dan akan mudah kembali kepada penyalahgunaan dadah. Kita harus sedar dan memberikan mereka harapan dan peluang untuk memulakan kehidupan baru.
Sesungguhnya seruan dan perintah tegas Allah dalam Al-Quran yang memberi perhatian besar terhadap taubat :
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu" - Surah At Tahrim: 8
Ini adalah perintah yang tegas dari Allah SWT dalam Al Quran kepada manusia untuk melakukan taubat dengan taubat nasuha, iaitu taubat yang sebenarnya dan sepenuh hati, berazam menghapus keburukan-keburukan yang pernah dilakukan sebelumnya, mengembalikan fitrah kemurnian jiwa. Oleh karena itu, kita hendaklah berusaha dan berdoa kepada Allah membantu diri kita sentiasa bertaubat kepada-NYA.
Antara Surah Surah Amalan
- Surah At Taubah (Ayat 28 hingga ayat 36)
- Surah At Taubah (Ayat 60 hingga ayat 70)
- Surah Hijr (Ayat 66 hingga ayat 99)
- Surah Al Hajj (Ayat 40 hingga ayat 55)